visitor activity monitorweb stats

Usul undi percaya PM dibuat segera jika berani dan terbukti ada majoriti

Oleh ADIBA SHAROM

USUL KEABSAHAN PERDANA MENTERI TIDAK WAJAR DILENGAHKAN

Keabsahan dan legitimasi seorang Perdana Menteri mengikut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan boleh ditentukan di Parlimen mengikut precedent kes Stephen Kalong Ningkan melalui usul undi tidak percaya. Manakala kaedah lain sekiranya Perdana Menteri berkeras tidak mahu meletak jawatan jika wujud keadaan hilang keyakinan majoriti Ahli Parlimen, maka mana-mana Ahli Parlimen lain yang mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen boleh membuktikan sokongan tersebut walaupun bukan melalui Parlimen menurut precedent kes Nizar Jamaluddin. Kata pengamal undang-undang, Faiz Fadzil.

Menurut Faiz Fadzil, apa yang berlaku hari ini adalah kebijaksanaan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan keabsahan dan legitimasi sebagai PM di Parlimen.

“Parlimen adalah institusi dan premis sesuai dan relevan bagi Ahli Parlimen. Maka, melengahkan usul undi percaya terhadap Muhyiddin sebagai PM adalah sesuatu yang meragukan dan mengelirukan sedangkan beliau mendakwa mempunyai sokongan majoriti. Jika benar dan berani, usulkan sekarang, bukan 2 bulan lagi.”

Sebelum ini YDPA menitahkan parlimen boleh bersidang walaupun dalam tempoh darurat dan perlu diadakan sidang segera tetapi kerajaan hanya mengadakan mesyuarat khas yang dilihat bercanggah dengan titah Agong tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir itu juga mengatakan, penarikan balik sokongan beberapa orang Ahli Parlimen Umno menunjukkan Muhyiddin telah hilang sokongan majoriti, apatah lagi Umno sendiri telah mengumumkan menarik diri daripada kerajaan PN pada 4 Ogos lalu.

Tindakan Muhyiddin melengahkan usul undi percaya terhadap keabsahan beliau tidak wajar dilengahkan kerana ia tidak lagi bersifat kontemporari dan politik ‘scheme of things’ akan terus diamalkan dalam politik negara. Politik harus bersih daripada rasuah dan ugutan dan perlu berasaskan politik nilai, tambah Faiz.

“Kepincangan pentadbiran dan kelumpuhan ekonomi negara hari ini perlu diatasi melalui penubuhan sebuah kerajaan baharu yang stabil kerana kestabilan politik adalah asas pentadbiran negara dan pengurusan ekonomi yang cekap.”

“PM baharu perlu dilantik dari kalangan Ahli Parlimen yang diyakini majoriti Ahli Parlimen yang menolak Muhyiddin dan kerajaan PN dan perlu memiliki aura, karismatik dan kompentensi sebagai PM.”

Faiz juga menyeru supaya ahli-ahli parlimen perlu bersatu demi negara kerana rakyat amat-amat mengharapkan perubahan ini berlaku. Jangan sampai rakyat menghukum ahli politik kerana gagal memenuhi aspirasi rakyat ini. Kaedah ‘win-win’ perlu dicari dan prinsip ‘less evil’ boleh dijadikan asas, kata Faiz yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara.