Remaja diperdaya RM283,000, ibu bapa diugut RM300,000, awas lain macam ‘scammer’ sekarang

Oleh NURAIMAN

Pihak polis telah berkongsikan satu kes penipuan ‘scammer’ yang lain macam membabitkan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun sebagai mangsa.

Modus operandi baharu penipu atas talian itu ialah acah-acah culik mangsa kemudian minta wang tebusan kepada ibu bapa.

Memulakan jeratnya, ‘scammer’ menghubungi remaja lelaki itu dengan menyamar sebagai pegawai polis dan mengarahkan mangsa supaya berpura-pura menjadi mangsa culik.

Dia meminta mangsa untuk datang ke sebuah lokasi kononnya ada satu kiriman bungkusan berisi dadah atas nama mangsa.

Suspek kemudian memperdaya mangsa untuk membayar sejumlah RM283,000 dalam beberapa transaksi, dan selepas itu mangsa diarah untuk menyembunyikan diri, seolah-olah diculik.

Tanpa pengetahuan ibu bapanya, remaja itu membuat pembayaran melalui empat transaksi bermula 30 September hingga 3 Oktober lalu.

Selepas habis wang simpanan, suspek mengarahkan mangsa melarikan diri dari rumahnya dan bersembunyi di sebuah rumah inap di Shah Alam, Selangor.

Scammer kemudiannya menghubungi ibu bapa mangsa selepas mangsa melarikan diri dan meminta tebusan sebanyak RM300,000.

Ibu bapa mangsa akhirnya membuat laporan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada 11 Oktober berkata, bertindak atas laporan itu, polis menahan dua lelaki.

Kedua-duanya yang berusia 24 dan 32 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan dan ‘menyelamatkan’ mangsa.

Beliau memberitahu, suspek pertama yang dipercayai mengeluarkan duit berkenaan ditahan di Pulau Pinang pada 6 Oktober lalu.

Susulan penahahan lelaki terbabit, polis kemudiannya menahan seorang lagi suspek. Pemeriksaan polis juga mendapati, mereka tidak pernah berjumpa antara satu sama lain.

Baca:

MYAirline dah gantung operasi, ramai pelanggan terkejut, ini cara elak duit tempahan lesap

Kesian Khairul Aming, sebaik-baik dia pun kena cop scammer, jahat betul orang yang buat tu

Guru sekolah agama kantoi bagi pinjam duit, minta habuan seks sebagai balasan