Perdana Menteri Anwar Ibrahim ‘struggle’ tarik sokongan Melayu, KJ dedah puncanya

Oleh ADIBA SHAROM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ‘struggle’ tarik sokongan Melayu, KJ dedah puncanya.

Dikatakan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha menarik sokongan orang Melayu dengan pelbagai usaha. Kerajaan yang didukung oleh beberapa parti berteraskan Melayu Islam seperti UMNO masih lagi dilihat tidak mencukupi untuk menarik sokongan rakyat sepenuhnya.

Kesukaran Datuk Seri Anwar Ibrahim meraih sokongan Melayu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih didorong rasa tidak puas hati rakyat terhadap pentadbirannya yang dilihat kurang dari segi hala tuju ekonomi, berbanding faktor ‘Gelombang Hijau’ dibawa Perikatan Nasional (PN).

Pandangan itu disuarakan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, ketika negara berbaki beberapa minggu sahaja lagi untuk berdepan PRN di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Mengulas lanjut, katanya, kebangkitan ‘Gelombang Hijau’ yang ekstrem tidak banyak menyumbang kepada apa yang berlaku di Malaysia hari ini, berbanding ungkapan rasa tidak puas hati yang tulen dalam kalangan masyarakat Melayu, yang mana ia melangkaui isu 3R yang merujuk bangsa, agama dan institusi diraja.

“Sepanjang tujuh bulan lalu (sejak Anwar dilantik Perdana Menteri), jelas sekali terdapat kekurangan pada hala tuju ekonomi di mana Ringgit Malaysia terus melemah dan krisis kos sara hidup terus menghakis kuasa beli rakyat.

Raja-Raja Melayu kecuali Sultan Kelantan, sudah ada di Istana Negara

“Kemarahan Melayu yang ketara ini diperkuat dengan sikap hipokrit pentadbiran sekarang, yang bercakap tentang membasmi rasuah dan menegakkan tadbir urus yang baik, namun menanggung kepemimpinan UMNO yang tercemar.

“(Jadi) apa yang akan kita lihat pada PRN akan datang adalah sedikit sahaja disebabkan oleh ‘Gelombang Hijau’ berbanding tsunami ketidakpuasan hati,” katanya melalui artikel disiarkan Fulcrum yang diterbitkan ISEAS – Yusof Ishak Institute (ISEAS).

Khairy yang juga Felo Pelawat Kanan ISEAS-Yusof Ishak mengakui tumpuan PRN terarah kepada pengundi Melayu dengan segmen pengundi itu sendiri amat penting kepada Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), katanya, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 11 peratus undi dalam kalangan Melayu dan Anwar perlu mendapatkan sokongan kukuh dalam PRN di enam negeri ini yang dilihat ramai sebagai referendum awal kepada kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu juga berkata, Anwar berdepan dua cabaran besar termasuk satu daripadanya di peringkat dalaman Kerajaan Perpaduan sendiri yang mana terpaksa menanggung liabiliti iaitu UMNO serta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presidennya yang tidak popular.

Meskipun pada mulanya dilihat pelengkap kepada PH dan berpotensi membawa gabungan itu mara ke kubu majoriti Melayu, beliau sebaliknya berkata berlaku apabila UMNO terus bergelut untuk memperjelas kepada ahlinya mengapa ia menjadi sebahagian kerajaan yang merangkumi musuh ideologi lamanya, DAP.

“Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini juga menunjukkan sedikit keinginan untuk melakukan pembaharuan, sebaliknya memberi tumpuan kepada mewajarkan sokongan parti terhadap kerajaan Anwar dan berusaha mengumpulkan perwakilan ke arah keadilan untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dipenjarakan,” katanya.

Khairy juga mempersoal apakah ada tanda yang menunjukkan langkah taktikal Anwar untuk menuntut semula sokongan Melayu berjaya?

Berdasarkan tinjauan seluruh negara pada April lalu, Khairy berkata penilaian penerimaan Anwar yang merentasi kumpulan etnik adalah 62 peratus, namun dalam kalangan responden Melayu jatuh kepada 54 peratus.

“Walaupun 62 peratus rakyat Malaysia terbabit kajian itu memaklumkan pandangan mereka terhadap kepimpinan Anwar bertambah baik, kurang daripada separuh responden Melayu bersetuju.

“Perhimpunan PN baru-baru ini di kubu kuat PH di Selangor dan Negeri Sembilan juga menyaksikan rekod kehadiran yang belum pernah disaksikan sebelum ini, dengan kehadiran hampir eksklusif orang Melayu,” katanya.

Mengenai populariti PN, Khairy berkata dimensi gabungan itu kini semakin luas berbanding sekadar peningkatan keagamaan dalam kalangan Melayu.

“Semasa PRU lalu, PN memenangi kerusi di luar kawasan Melayu tradisi PAS dan memperluaskan sokongan dengan memenangi beberapa kawasan urban, yang mempunyai kepadatan pengundi Melayu lebih rendah.

“Calon-calon yang menang berkempen di bawah sepanduk PN baharu dan mengelak simbol bulan purnama hijau yang dikaitkan secara tradisi dengan PAS dan Islam politik,” katanya.

Beliau juga mengakui Anwar sendiri berusaha untuk membendung rasa tidak puas hati orang Melayu dengan menangani beberapa isu 3R secara langsung.

“Anwar sendiri membuat kenyataan di Parlimen dalam menangani isu kalimah ‘Allah’ yang secara tradisinya dipelihara Raja-Raja Melayu.

“Beliau meminta perkenan Raja-Raja Melayu untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya dan ia berbeza dengan pendiriannya sebelum menjadi Perdana Menteri, di mana beliau bersetuju bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan perkataan itu,” katanya.