Ini sebabnya ramai orang boikot bazar Ramadan, jual telur mata pun RM 4.50

Oleh NURAIMAN

Ramai rupanya sudah dan akan terus boikot bazar Ramadan gara-gara adanya peniaga tamak haloba contohnya telur mata pun tergamak jual sehingga RM 4.50.

Peniaga cekik darah terbabit dilihat menggunakan alasan kenaikan kos bahan mentah.

Padahal, tepung, minyak, telur tak naik harga pun.

“Jangan sampai netizen boikot bazar Ramadan. McD Starbucks pun terduduk,” tulis pengguna X, @chairmanGLC.

Sehubungan itu, ada menyarankan supaya rakyat Malaysia melancarkan boikot terhadap bazar Ramadan untuk tempoh tertentu.

“Kasi boikot 10 hari cukup. Dah tak balik modal sewa tapak dah tu,” kata seorang warganet.

Heboh di media sosial mengenai sikap sesetengah peniaga bazar Ramadan yang kononnya “terpaksa” menaikkan harga makanan sekitar RM1 sehingga RM2.

Lapor BH, seorang peniaga murtabak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur memberitahu dia menaikkan harga makanan itu daripada RM5 kepada RM7.

Alasannya, bawang India yang murah tiada lagi di pasaran menyebabkan dia perlu membeli bawang pada harga sehingga RM7 sekilogram (kg).

Rata-rata warganet mengecam tindakan peniaga yang dilihat mahu meraih keuntungan berlebihan.

Ada juga mempersoalkan kewajaran peniaga menaikkan harga sehingga RM2 bukannya 50 sen untuk sekeping murtabak dengan alasan bawang sudah mahal.

“Minyak masak tak naik harga. Telur pun tak naik harga. Ayam tak naik harga. Daging pun tak naik harga. Bawang India saja naik harga.

“Murtabak ni orang nak rasa ayam dengan daging bukan nak makan bawang!” kecam pengguna X yang juga pempengaruh Abdul Rani Kulup Fans.

Ramai juga mempertikai tindakan peniaga murtabak di bazar Ramadan yang menjual makanan itu dengan terlalu kurang kandungan ayam.

“Biasanya di bazar Ramadan, banyak murtabak isi bawang dan telur. Nak nampak daging, ayam ke memang tak ada. Lain-lain ada murtabak kentang walaupun yang di’order’ murtabak daging atau ayam,” kata seorang netizen lagi.

Selain peniaga murtabak, penjual Roti John juga tergamak cekik darah “terpaksa” menaikkan harga sehingga ada mencecah RM10 berbanding tahun lalu di sesetengah tempat dijual RM8.

Alasan peniaga terbabit, kononnya harga sos cili, sos lada hitam dan juga daging mengalami kenaikan.

Baca:

Selamanya akan digelar penyondol, Zarina Zainuddin nasihat jangan nikahi suami orang

Ulat ‘bersarang’ dalam kurma, pelanggan persoal kualiti kebersihan syarikat pengeluar

Patutlah kereta tersidai di pam petrol rupanya…, ‘spesis’ begini kena tahu apa orang lain kata