visitor activity monitorweb stats

Dilabel perempuan ‘daring’ kaki ‘clubbing’, ini jawapan Amylea

Oleh ADIBA SHAROM

Gara-gara berpenampilan dan cara berpakaian yang berani serta berstatus selebriti, penyanyi dan pelakon, Amylea Azizan puas dilabel ‘kaki’ kelab malam. Bohong kalau Amylea katakan dia tidak terkilan dengan tuduhan itu. Hakikatnya dia memendam sekelumit rasa kecewa apabila dipandang bukan-bukan.

Tetapi bukan kerjanya untuk puaskan hati semua orang. Kata Amylea, puas dan letih. Dia merasakan sudah terlalu kerap dirinya cuba membuktikan dia bukan perokok, pemabuk ataupun penagih bahan terlarang.

“Saya dibesarkan dalam keluarga pemuzik. Sejak kecil, saya sudah masuk ke bar, melihat persembahan. Di tempat begitu, semua benda tak elok tersedia di depan mata. Sejujurnya, saya tak boleh cakap hiburan ini dunia yang suci dan murni.

“Tapi saya bukan seperti yang orang sangka. Sejak masuk industri pada usia belasan tahun, sampai sekarang, saya bukan perokok, pemabuk, penagih apatah lagi kaki kelab malam. Bahkan tidak langsung berkeinginan untuk mencuba semua itu. Bagi yang mendakwa saya begitu, buktikan.

“Memang kecewa kalau ada yang melabel saya begitu. Tapi bukan urusan saya lagi untuk membuktikan saya bukan wanita seperti itu,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sambung anak kelahiran Kedah ini, adakalanya dia tertanya-tanya, kenapa manusia mudah menjatuhkan hukum sedangkan dakwaan dan tuduhan yang mereka lemparkan bersifat kosong, tak berasas.

“Pernah ada yang hulur minuman keras kepada saya kemudian terkejut dan tak percaya apabila saya menolak serta mengatakan saya bukan peminum arak.

“Ada juga yang cuba mempengaruhi tapi tak berjaya malah memandang serong dan menganggap saya tidak layak untuk berkawan dengan mereka hanya kerana saya tidak mengamalkan cara hidup mereka.

“Memang pelik apabila dipandang serong disebabkan kita tak buat benda-benda begitu. Mungkin persepsi mereka artis dan selebriti adalah begitu sedangkan masalah arak, rokok dan dadah ini juga sama menghantui industri lain,” jelasnya.

Kata Amylea, tindakan ibu bapanya yang memberi kebebasan untuk dia menentukan pilihan sendiri yang berintegriti dan berprinsip sebenarnya menjadi sebab yang menjadikan siapa dirinya sekarang.

“Contoh, saya tak suka rokok sebab baunya tak menyenangkan dan ia tidak baik untuk kesihatan. Jadi saya pilih untuk tidak mencuba meskipun saya dikelilingi perokok. Tapi masih juga ada yang ingat saya merokok.

“Saya berkawan dengan sesiapa sahaja. Tetapi saya bukan yang mudah hakimi orang disebabkan perbuatan mereka. Urusan mereka bukan urusan saya. Kita semua akan lalui fasa perubahan dalam hidup masing-masing. Jadi jangan pandang serong atau hakimi orang.

“Saya bukan nak tunjuk baik. Tapi itulah diri saya. Saya tak perlu merokok, minum arak atau ambil dadah untuk jadi gembira. Saya harap jangan label saya hanya kerana cara pemakaian saya. Kita ada kelemahan masing-masing yang Allah tutup. Jangan pula kita yang membukanya,” ujarnya.

RADIO MAIN PERANAN

Sebagai komposer dan penulis lirik yang berjaya, Amylea sedar apa yang membuatkan lagu-lagu yang bagus dan berkualiti kurang sambutan sekali gus tenggelam dek persaingan lagu-lagu yang lebih tular dan popular.

“Sekarang formula untuk jadikan lagu itu viral banyak digunakan sesetengah komposer atau pencipta. Ada yang terpaksa membuang elemen nostalgia asalkan lagu itu menerima sambutan memberangsangkan.

“Saya tahu formula itu, namun tidak akan gunakannya kerana saya mahu lagu saya diingati sampai bila-bila. Saya boleh sahaja guna formula itu untuk viralkan lagu, ikut trend. Tapi saya tak mahu berkompromi dengan kualiti,” katanya.

Dalam masa yang sama, Amylea juga berharap stesen radio tempatan juga dapat memutarkan lagu-lagu yang bagus namun kurang popular.

“Lagu susah nak menjadi kalau radio tak putar. Keadaan dulu beza, hampir semua artis rakaman dapat peluang sama rata, lagu-lagu mereka main di radio.

“Sekarang stesen lebih tengok kepada lagu yang popular, tular. Begitu juga penyanyi, lebih utamakan yang banyak pengikut di media sosial,” komennya.[/fusion_text][/fusion_builder_column][/fusion_builder_row][/fusion_builder_container]