Ivermectin penawar kepada Covid-19?

Oleh ADIBA SHAROM

Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin

Apakah ivermectin ibu segala ubat bagi rawatan covid-19?

Saya terdorong untuk memberikan ulasan berhubung penggunaan ivermectin yang dikatakan sebagai ubat yang boleh merawat jangkitan COVID-19 kerana desakan dan tekanan sesetengah pihak yang mahukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar segera meluluskan penggunaannya untuk tujuan klinikal dan juga pencegahan.

Saya akan cuba sebaik mungkin memberikan pandangan yang profesional, adil dan menggunakan lenggok bahasa yang mudah difahami khalayak dengan memaparkan pandangan mereka yang bersetuju dan juga yang tidak bersetuju dengan penggunaan ivermectin bagi tujuan tersebut di atas.

Terlebih dahulu izinkan saya untuk memberikan sedikit pengenalan berhubung ivermectin. Secara ringkasnya ivermectin adalah sejenis ubat anti-parasit yang telah digunakan secara meluas bagi merawat infestasi parasit seperti cacing pita, cacing gelang, kutu, skabies (kudis buta) dan sebagainya.

Rawatan ini biasa digunakan ke atas manusia dan juga haiwan yang dijangkiti parasit tersebut serta telah menunjukkan sejarah profil ubat yang selamat digunakan jika mengikut tatacara penggunaan yang betul.

Minat ke atas ivermectin ini mula menjadi perhatian ramai terutama apabila satu kajian yang dilakukan di Universiti Monash dan telah diterbitkan pada Jun 2020 mendapati ubat ini berupaya menurunkan replikasi COVID-19 sehingga 5000 kali ganda dengan satu rawatan di dalam tempoh 48 jam. Perlu juga saya nyatakan di sini bahawa kajian ini hanya dilakukan ke atas virus tersebut melalui pembenihan kultur sel sahaja.

Terdapat juga beberapa kajian yang terdahulu dan selepas Jun 2020 ke atas pesakit COVID-19 di dalam skala yang kecil samada untuk tujuan kajian klinikal mahupun sebagai langkah pencegahan (profilaksis) yang telah dilakukan dengan pelbagai hasil yang berbeza.

Kemuncak kepada minat penggunaaan ivermectin ini adalah apabila satu kajian tinjauan menyeluruh oleh beberapa penyelidik dari United Kingdom ke atas artikel-artikel penyelidikan berhubung kajian klinikal dan profilaksis COVID-19 yang diterbitkan pada Jun 2021 telah menyarankan penggunaan ubat ini untuk rawatan dan pencegahan virus ini.

India menggunakan ivermectin

Di dalam masa yang sama, kerajaan India telah membenarkan penggunaan ivermectin sewaktu wabak pandemik COVID-19 melanda negara tersebut dan dikatakan telah berjaya mengurangkan kadar kematian serta jangkitan virus di dalam masyarakat.

Justeru, mereka yang mendesak penggunaan ivermectin telah menggunakan hujah-hujah di atas dan turut membuat spekulasi bahawa oleh kerana syarikat-syarikat gergasi farmaseutikal telah membelanjakan berbilion US dollar ke atas pembangunan vaksin maka tentulah penggunaan ivermectin akan menyebabkan kerugian yang besar ke atas pelaburan yang telah dibelanjakan.

Namun begitu, pengkritik ivermectin menyarankan agar satu kajian klinikal yang menyeluruh mestilah dilakukan bagi menjamin keselamatan pesakit dan memastikan keberkesanan penggunaannya samada bagi tujuan rawatan mahupun pencegahan.

Para penyelidik juga mengingatkan bahawa kajian tinjauan yang diterbitkan oleh penyelidik di United Kingdom merujuk kepada kepelbagaian kajian klinikal di dalam skala yang kecil yang turut mempunyai pelbagai kelemahan terutama dari aspek rekabentuk kajian dan juga analisis data.

Di samping itu, umum mengetahui bahawa kerajaan India juga telah menarik balik penggunaan ivermectin bagi rawatan COVID-19.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula telah menasihatkan bahawa penggunaan ivermectin hanya digunakan bagi tujuan kajian klinial sahaja bagi menjamin keselamatan pesakit dan penggunaan dos yang betul.

Di masa yang sama, KKM telah mengambil langkah proaktif dan sedang melaksanakan kajian klinikal di negara ini berhubung penggunaan ivermectin sebagai alternatif rawatan jangkitan COVID-19. Hasil kajian ini dijangka akan diketahui sekitar bulan September tahun ini.

Untuk makluman, terdapat juga kajian klinikal secara besar-besaran sedang dilakukan oleh para penyelidik di Universiti Oxford dengan mendapat sokongan dana dari kerajaan United Kingdom.

Maka apakah seterusnya?

Mungkin elok untuk kita mengimbas semula bahawa terdapat banyak negara yang telah berjaya mengawal dan menurunkan bilangan kes COVID-19 tanpa menggunakan ivermectin termasuklah di United Kingdom, Amerika Syarikat, Eropah, Singapura, Taiwan dan sebagainya.

Di antara kunci kepada kejayaan tersebut terletak kepada program vaksinasi yang lancar serta pelaksanaan program saringan berdasarkan sistem FTTIS (find, test, trace, isolation, support) yang pantas dan menyeluruh.

Penggunaan tanpa panduan tepat

Selagi tiada hasil keputusan kajian klinikal yang menyeluruh dan meyakinkan tentulah tidak wajar bagi kerajaan untuk membenarkan penggunaan ivermectin untuk memerangi COVID-19. Keselamatan pesakit mesti menjadi keutamaan.

Amat dibimbangi ketika ini dilaporkan terdapat ramai yang mula mendapatkan ivermectin untuk tujuan rawatan dan pencegahan COVID-19 dengan mendapatkan bekalan secara dalam talian.

Ivermectin boleh didapati dalam bentuk pil dan cecair

Perbuatan ini amat membahayakan kerana kualiti ubat tersebut tidak terjamin dan dibimbangi berlaku penjualan ubat-ubat palsu yang boleh menyebabkan kesan sampingan yang lebih tinggi risiko ke atas kesihatan.

Namun untuk menolak penggunaan ivermectin sama sekali juga bukanlah keputusan yang tepat.

Apa yang diperlukan ialah sedikit masa lagi agar data klinikal yang lebih meyakinkan dapat diperolehi supaya justifikasi penggunaannya adalah berdasarkan dapatan sains yang tidak meragukan sama sekali.

Profesor Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin merupakan pakar farmaseutikal dari Fakulti Farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia